Saturday, 24 September 2016

RUMAH TRADISIONAL PAHANG

KEUNIKAN seni bina rumah Melayu tradisional merupakan suatu gambaran yang memperlihatkan kreativiti dan kehalusan pertukangan atau kerja tangan masyarakat Melayu yang dipengaruhi oleh pelbagai faktor meliputi alam sekitar, iklim, acuan corak budaya dan agama Islam.

Elemen-elemen yang terdapat di dalam reka bentuk seperti bahan binaan, struktur, ruang dan dekorasi menggambarkan kehidupan dan satu bentuk budaya pemilik rumah tersebut.

Justeru, seni bina Melayu bukan sahaja dilihat sebagai satu bentuk pengetahuan atau kemahiran seni kreatif yang mempunyai simbol dan nilai estetika tersendiri, sebaliknya ia memiliki makna dan falsafah.

Menurut Pengarah Muzium Warisan Melayu Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr. Muhammad Pauzi Abd. Latif, struktur Rumah Serambi Pahang dikaitkan dengan binaan yang mempunyai maksud dan tujuan tertentu. Rumah yang dibina dengan kayu cengal dan merbau itu memperlihatkan sifat kreatif masyarakat Melayu yang tinggi di dalam menampilkan ciri-ciri kediaman yang unik.

“Keunikan Rumah Serambi Pahang dapat dilihat menerusi teknik pembinaan kediaman yang berdasarkan tradisi seni bina Melayu iaitu dibina dengan kayu tanpa menggunakan sebarang paku pada dinding dan lantai.

“Selain mempunyai tiga ruang utama iaitu serambi hadapan, rumah ibu atau induk serta serambi dapur, keunikan rumah itu juga terletak pada bahagian ‘geta’ atau lantai yang ditinggikan untuk tujuan tertentu termasuk sebagai tempat berehat dan tidur.

“Kedudukannya yang lebih tinggi daripada lantai dan strukturnya yang kuat membolehkan penghuni mendiaminya dengan selamat. Jadi, boleh dikatakan rumah tersebut mempunyai ciri-ciri keselamatan yang bertujuan mengelakkan serangan musuh dari bahagian bawah.

“Biasanya, pada zaman dahulu musuh yang cuba menganiaya pemimpin akan bertindak menjolok lembing ke arah lantai dari bawah rumah bagi mendatangkan kecederaan ke atas pemimpin berkenaan. Justeru dengan adanya ‘geta’, ia dapat menghindari kejadian tersebut daripada berlaku.

Keistimewaan Rumah Serambi Pahang juga terletak pada lebihan rasuk atau bahan binaan rumah kayu yang berfungsi sebagai pengikat rangka rumah bagi tujuan penambahan ruang.

“Melihat pada bahagian tersebut, ia jelas menunjukkan bahawa masyarakat Melayu pada masa itu sudah memikirkan perancangan untuk meluaskan rumah sekiranya terdapat penambahan ahli keluarga.

“Jadi, kerja-kerja membuat atau menambah ruang baharu kediaman menjadi lebih mudah dengan hanya memasang pasak kayu pada bahagian lebihan rasuk sedia ada.

“Selain itu, kewujudan tingkap labuh sedia ada di bahagian dinding turut memudahkan kerja-kerja pertukangan ketika proses penambahan keluasan kediaman dilakukan kerana jurubina tidak perlu lagi bersusah payah membina laluan baharu ke ruang tambahan,” katanya.

Rumah Serambi Pahang juga mempunyai penghadang (dikenali bendul bagi rumah tradisional lain) setinggi kira-kira 0.4 meter yang berfungsi sebagai pintu masuk dari rumah ibu ke serambi.

“Penghadang tersebut menepati ciri-ciri keselamatan yang berfungsi melengahkan atau melambatkan tindakan individu yang membuat serangan bagi membolehkan tuan rumah mengambil langkah menyelamatkan diri atau bersiap siaga mempertahankan diri,”ujarnya.

Sementara itu, menurut Kurator Muzium Warisan Melayu UPM, Khairulnisa Haron, kelainan turut dapat dilihat dari segi kesederhanaan dalam hiasan rumah yang tidak terlalu sarat dengan ukiran.



SENI BINA RUMAH MELAYU TRADISIONAL


Pengenalan
Rumah kayu atau rumah kampung pada suatu masa dulu boleh dikatakan tidak asing bagi orang Melayu. Tapi dengan urbanisasi penduduk kini, ramai anak-anak Melayu yang tidak lagi mengenal apakah ciri bentuk sebenarnya rumah kayu tradisional maupun caranya dibangun tanpa paku.

Sebelum kedatangan pengaruh luar dan telunjuk moden, penduduk asal Melayu dan Orang Asli di Semenanjung Tanah Melayu dan Sumatera serta kaum Bumiputra/Pribumi lain di Borneo dan bahagian lain di alam Melayu telah mempunyai sistem perumahan yang canggih, cantik dan serasi dengan gaya hidup dan alam sekitar. 

Rumah tradisional mengikut negeri-negeri di Malaysia
  1. JOHOR
  2. MELAKA
  3. NEGERI SEMBILAN
  4. SELANGOR
  5. PAHANG
  6. TERENGGANU
  7. KELANTAN
  8. KEDAH
  9. PULAU PINANG
  10. PERAK
  11. SABAH
  12. SERAWAK


RUMAH TRADISIONAL MELAKA


Pengenalan
Ini merupakan rumah Melaka versi “Tiang 12”. Versi ini mempunyai reka bentuk ringkas dan mengandungi fungsi ruang secara asas, menunjukkan kesederhanaan pemiliknya. Reka bentuk rumah ini mengandungi serambi, rumah ibu, selang dan rumah dapur. Secara asas pelan rumah ini menyamai rumah kutai negeri Perak, perbezaannya  terdapat serambi di bahagian hadapan rumah ini. Serambi adalah tempat berehat dan mengambil angin, melayan tamu dan meninjau aktiviti di hadapan rumah.
Keseluruhan dinding rumah diperbuat daripada kayu, kecuali di bahagian dapur yang mempunyai dinding pelupuh. Bahagian atap rumah ini dibuka sedikit untuk membenarkan pengudaraan masuk ke dalam rumah. Bahagian selang rumah pula didinding, berbeza dengan rumah kutai Perak. Rumah ini mempunyai tebar layar bermotif bunga dan papan pemuka yang berkerawang ringkas. Kayu jerejak di serambi juga mempunyai ukiran yang ringkas sesuai dengan konteks kesederhanaan rumah ini.

Elemen Seni bina
Lazimnya rumah ini dimiliki  oleh orang kebiasaan, maka reka bentuk rumah ini terhad kepada fungsi asas iaitu mengandungi rumah ibu, rumah dapur dan serambi.
Rumah dapur mempunyai pintu masuk di sebelah sisi belakang, memudahkan kaum wanita bertandang. Keseluruhan rumah adalah diperbuat daripada kayu meranti.

RUMAH TRADISIONAL NEGERI SEMBILAN


Pengenalan
Negeri Sembilan mempamerkan secara keseluruhan reka bentuk bumbung panjang yang bersifat Minangkabau. Ia mempunyai sifat reka bentuk atap yang bertingkat yang dialas daun rumbia. Rumah ini mempunyai serambi hadapan dan anjung yang meneduhkan tangga utama kemasukan ke Rumah Ibu melalui Serambi.  Serambi dihiasi ukiran kerawang yang bercorak silang-menyilang. Rekaan tangga adalah ringkas. Tangga diikat atau dimatikan dengan rekaan kekunci dipapan yang menarik seperti yang boleh dilihat di dalam gambar.

Rumah ini dihiasi ukiran kayu yang banyak di sekeliling rumah, lebih-lebih lagi di sekitar Serambi hadapan rumah. Ukiran adalah bermotifkan silang dan bunga yang agak bersifat grafik. Bahagian anjung, serambi dan rumah ibu mempunyai aras yang berbeza.

Rumah ibu mempunyai ruang yang terluas dan tertinggi. Terdapat bilik di rumah ibu dan tangga menghala ke loteng. Loteng ini mengambil lebihan ketinggian dan tingkat atap yang diberi ruang oleh struktur rumah ini.

Rumah ibu bersifat terbuka dan disambung ke rumah dapur melalui pintu yang menghala ke selang. Selang tidak berdinding dan merupakan pelantar kepada sebahagian fungsi dapur. Ianya berperanan sebagai ruang bersembang untuk kaum wanita.  Rumah Negeri Sembilan ini memaparkan seni kraf kayu yang menyeluruh hingga sampai ke rumah dapur. Paras tingkapnya adalah sangat rendah, iaitu direka untuk paras orang duduk dan bukannya berdiri.

RUMAH TRADISIONAL SELANGOR

Pengenalan
Rumah ini merupakan rekaan bumbung panjang yang terdapat di negeri Selangor. Ia mengandungi kombinasi anjung dan serambi yang agak besar dan menonjol. Hampir kesemua rekaan bumbung panjang adalah memanjang kebelakang apabila diperbesarkan mengikut keperluan semasa pemilik rumah. Rumah ini tidak mempunyai bumbung bertingkat seperti rumah Negeri Sembilan, tetapi mempunyai bumbung besar yang agak curam di rumah ibu. Seperti kebiasaan reka bentuk ini, tujuan bumbung yang besar (tebar layar) ini adalah untuk memerangkap angin agar ruang atap dapat diudarakan untuk tujuan menurunkan suhu di dalamnya.
Justeru, lebih besar rumah ibu, maka lebih besarlah atap tersebut.  Rekaan luaran rumah ini mempunyai ukiran yang sederhana di bahagian atas tingkap. Tingkap mempunyai jerejak pendek yang terletak di atas palang bawah tingkap. Tingkap rumah ini terletak agak rendah dari paras lantai. Rumah ibu dinaikkan paras berbanding dapur, anjung, rumah tangga dan serambi. Ketinggian struktur atap membuatkan rumah ini kelihatan luas dan lega ketika berada di dalamnya. Ia juga bertujuan agar proses pengaliran udara yang lebih lancar dan selesa. Rumah ini tidak mempunyai selang, berbanding rumah bumbung besar yang lain.

Elemen Seni bina
Rumah ini tidak mempunyai bumbung bertingkat seperti rumah Negeri Sembilan, tetapi mempunyai bumbung besar yang agak curam di rumah ibu. Seperti kebiasaan reka bentuk ini, tujuan bumbung yang besar (tebar layar) ini adalah untuk memerangkap angin agar ruang atap dapt diudarakan untuk tujuan menurunkan suhu di dalam rumah. Justeru, lebih besar rumah ibu, maka lebih besarlah atap tersebut. Rekaan luaran rumah ini mempunyai ukiran yang sederhana di bahagian atas tingkap.

Tingkap mempunyai jerejak pendek yang terletak di atas palang bawah tingkap. Tingkap rumah ini terletap agak rendah dari paras lantai. Rumah ibu dinaikkan paras berbanding serambi dan selang. Ketinggian struktur atap membuatkan rumah ini kelihatan luas dan selesa apabila berada di ruang dalam rumah. Ia juga membolehkan pengaliran udara yang lebih lancar dan selesa.